Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘tilik nasib’

Suasana tengahari itu di stesen Ueno tiada bezanya dari hari-hari lain, padat dan sibuk seperti biasa. Mana tidaknya, sejak dibina pada tahun 1883, ia menjadi penghubung utama penghijrah-penghijrah dari utara untuk ke kota Tokyo bagi mencari rezeki. Kini, peranannya semakin berkembang khususnya buat pelancong yang ingin berkunjung ke muzium-muzium dan zoo Ueno yang terletak berhampiran.

“Kita ni nak pergi mana bos?” Aku bertanya kepada sahabatku Hafidz Afifi, yang turut dikenali dengan nama timangan ‘bos’. Nama timangan itu bukanlah kerana ‘bos’ seorang yang “bossy”. Malah sikap itu jauh sekali ada pada dirinya yang terkenal sebagai seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja. Tapi, khabarnya nama itu mula digunakan kerana boss merupakan ketua untuk ‘batch’ nya sewaktu kursus persediaan ke Jepun dahulu.

“Entahlah. Kita jalan sajalah. Aku kalau bosan datang Tokyo memang selalu jalan-jalan sekitar Ueno,” jelasnya padaku. Hari itu, bos berada di Tokyo kerana ada urusan dengan bakal majikannya, sebuah syarikat Jepun yang ternama di dunia.Aku pula, lebih dari gembira dapat bersama-samanya, apatah lagi bila mengenangkan diriku yang bakal pulang ke tanah air Mac ini.

“BAS PENGHISAP DARAH”

Sejurus keluar dari stesen, kami terlihat sebuah bas berwarna hijau yang tidak asing lagi. Dengan saiz sekira-sekira sebuah bas ekspres, ia boleh dilihat dimana sahaja tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Jom kita derma darah”, ajak bos selamba. Aku terkejut. Tidak pernah lagi dalam hidupku ada orang yang mencadangkan aktiviti menderma darah untuk mengisi masa lapang.  Bagaimanapun, dengan pujuk rayu dan godaan bos akhirnya aku akur jua.

Bagi bos, ini merupakan kali ketiga dia menderma darah di Jepun. Malah, aku masih ingat lagi sekitar bulan Mei tahun lepas sewaktu di Carboot Sale di Chiba, bos jugalah yang turut mempelawa 3-4 orang sahabat-sahabat lain untuk sama-sama menderma darah. Pendek cerita, kalau pihak Red Cross Jepun ada anugerah, sewajarnya bos layak untuk menerimanya sebagai “Most Influential Promoter”!

Apapun pengalaman pertamaku menderma darah merupakan sesuatu yang menyenangkan. Selepas mengisi borang dan menjawab questionnaire, tekanan darah dan sampel darahku diambil. Dan tidak lupa, aku juga diminta untuk minum jus bagi memastikan cecair dalam badan mencukupi. Kemudian, darah diambil dan tidak sampai 10 minit, 400ml darah telahpun selamat didermakan. Dengan sikap profesional para petugas di samping kecanggihan teknologi, tidak terasa sedikitpun rasa sakit. Malah, aku tidak sabar untuk menderma lagi kalau ada peluang.

kad derma darah

PELAJARAN PENTING

Ada 2 pelajaran penting dari pengalaman pertamaku menderma darah tadi. Pertama, ialah rasa puas apabila dapat menyumbang. Selepas melihat kantung 400ml yang kini penuh dengan darah yang didermakan, aku terfikir akan orang yang bakal memerlukannya nanti. Dengan hanya meluangkan sekitar 20 minit, sebuah nyawa mungkin akan dapat diselamatkan. Dan kini ku mengerti erti pengorbanan mereka yang mendermakan sebahagian dari organ mereka untuk menyelamatkan insan lain. Sudah pasti, mereka telah dapat menikmati sebuah kepuasan yang maha tinggi.

Pelajaran kedua yang ku dapat dan ia lebih bersifat personal, iaitu aku baru tahu aku berdarah O. Pengetahuan ini amat penting lebih-lebih lagi apabila berada di Jepun. Ini kerana, secara umumnya masyarakat Jepun sangat mementingkan jenis darah seseorang. Temuduga kerja, calon pengantin, tilik nasib adalah antara bidang-bidang di mana pengetahuan mengenai jenis darah seseorang amat kritikal.

Selama ini,aku merasakan bahawa aku adalah berdarah B. Ini adalah berdasarkan sebuah eksperimen ringkas sewaktu tingkatan 4 dahulu (padan muka sebab tak fokus cikgu mengajar)  dan aku yakin sahabat-sahabat turut melakukan eksperimen tersebut.

“Penemuan” baruku ini memberikan sebuah dimensi baru dalam mengenali diriku. Di Jepun khususnya, dan juga luar Jepun ada beberapa kajian mengenai hubungan antara jenis darah dan personaliti seseorang, walaupun tiada sebarang bukti sains berkenaan kajian berkenaan. Walaubagaimanapun, ia masih lagi sesuatu yang menyeronokkan untuk kita mengetahui personaliti kita melalui jenis darah. Jadi, dibawah, ku kongsikan beberapa sifat yang dikaitkan dengan orang yang berdarah O:

You are the social butterflies. Often popular and self-confident, you are very creative and always seem to be the center of attention. You make a good impression on people and you’re often quite attractive. Organized and determined, your stubbornness will help you reach your goals. You make good leaders. Lovewise, O is most compatible with O and AB.

Common career choices: banker, politician, gambler, minister, investment broker, and pro athlete.

SUMBER

Ada lagi beberapa website menarik berkenaan kajian jenis darah dan personaliti, lebih-lebih lagi dalam bahasa Jepun. Jadi, buat sahabat-sahabat yang ‘ki ni naru’ dengan personaliti anda, apa kata sebelum itu pergi menderma darah untuk mendapat kepastian di samping dapat menyumbang untuk masyarakat. 😀

Read Full Post »