Pertama kali lihat namanya ialah melalui lawan web al-ahkam.net serta blog pengasas al-ahkam, Ustaz Zain. Sejak itu, aku cuba kenali dirinya, ikuti perkembangannya dan hayati nasyidnya.(sambung di penutup)
Aku bukanlah penggemar mana-mana akademi atau program-program seumpamanya, khususnya Akademi Fantasia. Aku tidak ingat satu kali pun, aku pernah menonton satu episod penuh. Cuma, ada sekali waktu balik kampung aku terpaksa tengok sekejap sebab anak-anak saudara bersama makcik-makcik pakat nak tonton AF belaka.
Bukanlah nak kata aku ni baik pun. Tapi, pada aku rancangan-rancangan begini di samping membekalkan masyarakat dengan hiburan terlampau, ia juga bermotif perniagaan yang jahat. Mereka mengaut keuntungan mungkin sampai berjuta melalui sms-sms pakcik makcik di kampung, tukang kebung dan nelayan yang pendapatannya tidaklah seberapa. Jadi, nanti yang kaya sudah pasti stesen TV, pemilik pengendali telefon. Yang kaya makin kaya, yang tak mampu pula terus hanyut dihidangkan hiburan melampau tanpa henti.
Tetapi sejak mengenali dan menonton Akademi Nasyid, aku merasakan ada sedikit kelainan yang cuba disampaikan oleh mereka yang terlibat. Sekali lagi ditegaskan , aku tak adalah menyokong sangat program-program berbentuk akademi ini. Kalau tidak ada pun program sedemikian, tak adalah sampai aku menggigil atau demam sebab gian nak berhibur. Tapi, aku melihat Akademi Nasyid ini sebagai satu alternatif dalam membekalkan masyarakat kita yang begitu tagihkan hiburan dengan sesuatu yang lebih baik. Jadi, daripada hiburan yang tak tentu hala, lebih baik masyarakat dihidangkan dengan nasyid/lagu yang sedikit sebanyak ada mesej yang ingin disampaikan.
Jadi, walaupun aku tidak berapa setuju dengan beberapa perkara dalam Akademi Nasyid, usaha tersebut seharusnya diberi pujian dan moga-moga sedikit sebanyak ada kesan positif daripadanya.
Peserta favourite aku ialah Azhan Atan dari Johor. Ah, nyanyiannya cukup untuk membuatkan bulu roma aku meremang dan hati ini tersentuh. Segala Puji bagi Allah yang menciptakan manusia seumpamanya. Ditambah pula dari khabar-khabar yang aku dapat bahawa dia turut terlibat dengan gerakerja dakwah. Waduh, makin suka lah aku kat dia. Pada aku, pada saat ini tak kisah pun samada Azhan akan menjuarai Akadami Nasyid atau tidak, kerana dia telah pun Berjaya memperkenalkan dirinya dalam industri ini dan moga-moga Allah akan mengurniakan keputusan yang terbaik untuknya.
Oh ya, tak lupa tahniah juga kepada para juri kerana aku lihat ada beberapa juri yang begitu peka soal penyampaian Nasyid sebagai agenda dakwah, bukan semata-mata hiburan. Mabruk! Mabruk!

