Saat-saat Cemas
“Hari ini sungguh meletihkan…nampaknya Visa masih belum diperolehi”. Begitulah keluhan penceramah jemputan Summer Camp SC 2008, Ustaz Hasrizal a.k.a AbuSaif, 24 jam sebelum beliau dijadual terbang ke Bumi Sakura. Tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah IPIJ, penceramah jemputan tidak dapat Visa 24jam sebelum penerbangan.
Kami sebagai pihak penganjur, hanya Allah saja yang tahu betapa gelisah dan runsingnya memikirkan masalah tersebut. Lebih-lebih dengan aku, sebagai insan yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kehadiran Ustaz.Kegagalan Ustaz untuk hadir adalah secara langsung tanggungjawab aku. “Mungkinkah nanti aku kena jadi penceramah”, angan-angan aku yang kuharap tidak menjadi realiti.
Bertubi-tubi mel dan SMS ku terima bertanyakan status Ustaz dan juga status program. “Jadi tak program ni?”tanya seorang senior kepadaku.”Apa perlu kubuat seandainya Ustaz tak dapat Visa?” bisik hatiku. Na’uzubillah, segera dipujuk hati ini. Lantas diarahkan kepada semua AJk untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan.
Akhirnya….
“Jimi, Ustaz minta alamat dan no telefon. Ustaz dah dapat Visa”, bunyi SMS yang dihantar Ukhti Inda. ALHAMDULILLAH. Mahu saja ku sujud syukur di hadapan pintu masuk SOGO Yokohama. Khabar gembira itu terus kukhabarkan kepada teman-teman yang datang jauh dari Korea, sewaktu kami baru saja usai menjamah Ikan bakar serta Sup Miso, diiringi dessert Air Soya dicampur gula hitam di Ootoya, mapley aku di bumi Yokohama ini.
Begitulah antara catatan belakang tabir di sebalik wajah ceria dan gelak tawa yang mengisi program Summer Camp 2008 kali ini. Kisah betapa sukar dan peritnya untuk membawa sinar cahaya bagi menerangi bumi Sakura ini, yang sekian lama menanti. Moga-moga semuanya berbaloi.
Bukan kerna Nama

Macam-macam kerenah sebelum berjaya snap gambar ini
Program SC 2008 berbeza dengan program-program yang pernah dianjurkan sebelum ini. Jika sebelum ini, IPIJ sering memetik tajuk-tajuk secara rambang dalam silibus Usrah, kali ini bagi memanfaatkan semaksimum mungkin Ustaz Abu Saif, tema ‘APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM’ dipilih. Modul pengisian ini begitu sinonim dengan beliau di Malaysia bahkan di UK. Kali ini, apa kata kita beri peluang untuk Ustaz ‘memberi’ di Jepun pula, cadanganku kepada pihak pengurusan.
Alhamdulillah, dengan gaya penyampaian yang menarik disertai dengan selingan-selingan interaktif yang menyegarkan, aku dapat lihat para peserta begitu bersemangat mendengar dan ‘menerima’ pengisian dari Ustaz. Walaupun tidak dapat dinafikan, dek panas yang membahang serta nyanyian koir barisan cengkerik yang mendamaikan, kadang-kala ada peserta yang terlena dibuai mimpi. Namun, aku yakin seyakinnya ia bukanlah kerana pengisian yang membosankan, tetapi adalah akibat terlampau kenyang dengan masakan-masakan enak yang urusannya diketuai oleh chef-de-mission Akhi Afiq.
Mesyuarat Luar Tingkap

Tak kasik chance langsung depa ni
Antara karakteristik utama mana-mana program IPIJ ialah program-program halaqah informal yang terbentuk diluar waktu pengisian. SC 2008, turut tidak terlepas. Tetapi kali ini kekerapannya lebih ketara. Ini terbukti dengan sesi-sesi perbincangan yang tidak henti hatta waktu makan sekalipun. Sehinggakan riwayat yang sampai kepadaku menyatakan bahawa ada sesi makan yang Ustaz hanya sempat menyuap 5 suapan nasi dek melayan soalan-soalan yang bertubi, mengalahkan pukulan smash Wong Choon Han keatasku. (Kalau seandainya aku main badminton dengan dia)
Sebenarnya, daripada pengalamanku yang tidak seberapa ini, dalam halaqah-halaqah sebeginilah pihak Fasi dan peserta dapat berbincang dengan lebih terbuka dan rancak. Pada waktu inilah, para sempai dapat menyelami masalah-masalah yang dihadapi para kouhai bermula dari masalah studi, masalah dakwah hingga masalah cintan-cintun. Sesi ini berlaku dengan sifat terbuka tanpa ada rasa segan dan silu.
Kekurangan Pendakwah Rujukan di Bumi Jepun
Daripada situ, dapat kubuat kesimpulan bahawa ia menunjukkan bahawa golongan mahasiswa Malaysia di bumi Jepun ini ketandusan tempat untuk merujuk, khususnya bab agama. Ya, memang ada sedikit sebanyak para imam dan pendakwah di Jepun tetapi bilangannya terlalu sedikit. Apatah lagi, yang datang dari kalangan orang kita.
Jika dibuat perbandingan dengan US,UK atau Australia, di negara-negara berkenaan bilangan pendakwah agak ramai yang sekaligus membantu para pelajar mahupun warganegara Malaysia untuk menjadikan mereka sebagai tempat rujukan khususnya persoalan hukum fiqh. Malah, mungkin sampai ke tahap tak perlu kepada Ustaz-ustaz dari Malaysia kerana pendakwah di sana lebih memahami situasi di tempat mereka. Suasana itu tidak ada di Jepun kerana Islam yang baru hendak membangun di sini.
Menterjemahkan kefahaman kepada tindakan
“Saya tidak sabar untuk berkongsi apa yang saya dapat di sini dengan kawan-kawan lain”, adalah antara sekian banyak muhasabah yang kami terima. Alhamdulillah, matlamat tercapai.
Ya, sekarang sudah tiba masanya untuk para peserta pula terjun ke medan ‘memberi’. Aku yakin itu adalah antara poin terpenting yang cuba disampaikan oleh Ustaz dalam program SC 2008.
Pulanglah adik-adik (dan juga abang akak) ke tempat masing-masing dan carilah ruang untuk berkongsi input yang anda terima dan terjemahkan ia kepada tindakan. Jika sebelum ini kita sering dipulau kerana cuba untuk mengajak Solat Jemaah, mulakan dengan menjadikan diri kita contoh terbaik dari segi Akhlak. Jika sebelum ini perbincangan kita sering terhenti kepada kenapa Islam mengharamkan babi, bawalah perbincangan kepada persoalan matlamat hidup dengan teman-teman nihonjin kita.
Dan jangan lupa, DAKWAH MESTI CERIA!!
Kerunsingan
Tidak dapat dinafikan, antara faktor kejayaan program kali ini ialah kemampuan Ustaz Hasrizal untuk membawa pendekatan dan mesej dengan cara yang dekat di hati para peserta. Malah, tidak melampau seandainya ku katakan bahawa 70% daripada faktor menjadikan program SC 2008 kali ini menarik ialah faktor Ustaz.

Bukan faktor ana ya
Maka, menjadi satu cabaran untuk para AJK memikirkan cara dan pendekatan bagi memastikan program-program akan datang menarik, di atas perancangan dan insiatif penganjur sendiri. Satu cabaran besar untuk kita semua.
THINK BIG ACT SMALL!!