Feeds:
Posts
Comments

Kari Kambing Bujang

Sudah menjadi satu tradisi bagi aku, setiap kali tetamu terutamanya sahabat-sahabat seperjuangan bertandang ke rumah/bilik, kari kambing akan dihidangkan. Kari kambing ini, pertama kali diajar cara memasaknya oleh senior aku, akhi Saifizi sewaktu aku bermalam di rumahnya sekitar setahun yang lalu. Kini,setelah dilakukan beberapa perubahan, maka ingin aku kongsikan buat tatapan para pembaca sekalian, khususnya buat penggemar kambing.

BAHAN-BAHAN

Bawang besar dicincang (Setengah biji kot)

Bunga lawang, kayu manis serta yang sewaktu dengannya

Hirisan tomato dikupas kulit

Serbuk kari daging Adabi

Serbuk kari National

Daging kambing (lebih enak kalau ada tulang)

Kentang

Lobak merah

Susu/yoghurt

CARA MEMASAK

Tumis bawang beserta campurang kayu manis dan bunga lawang tadi.

Setelah naik bau, masukkan serbuk kari Adabi dan National tadi bersama sedikit air dan gaulkan. Daripada pemerhatian aku, untuk menjadikan kari anda enak,nisbah campuran kari Adabi dan National ialah 1:1. Tumis serbuk kari tadi sehingga pecah minyak.

Kari Cap National

Kemudian, masukkan daging kambing beserta sedikit air. Gaul sedikit agar daging diselaputi dengan kari. Kemudian, tutup periuk dan biarkan sehingga daging masak. Selepas itu, masukkan lagi air dan biarkan sehingga daging empuk. Secara lojiknya, lebih lama dimasak daging akan menjadi lebih empuk. Aku rasa, untuk 1kg daging kira-kira 1jam adalah tempoh yang cukup baik.

Setelah daging empuk, masukkan kentang dan juga lobak. Akhir sekali masukkan susu/yoghurt untuk memekatkan sedikit kuah. Oh ya, jangan lupa sedikit garam.

Maka kari kambing anda sudah siap untuk dihidangkan. Selamat mencuba!!

Yang sudah siap

TIPS 1: Untuk mudah kupas kulit tomato, rendamkan tomato dalam air panas

TIPS 2: Kari daging ini menjadi lebih enak selepas dibiarkan beberapa lama. Mungkin sebab kuahnya menjadi lebih sebati. (Baru aku faham kenapa ada cerita-cerita kedai mamak hidang kari hari sebelumnya. )

AMARAN 1: Resepi ini disediakan bukan di bawah pengawasan pakar masakan. Jadi, memasaklah atas tanggungjawab sendiri

AMARAN 2: Aku tak tahu macam mana nak letak berapa kg untuk daging, berapa liter susu dan seterusnya. Sebab, semuanya aku buat berdasarkan anggaran. Jadi, biasakanlah untuk mengagak

AMARAN 3: Aku tak tahu kalau kari National tu ada jual di tempat lain. Kalau tiada, pandai-pandailah cari penggantinya ya!!

Terungkai sebuah misteri

Suasana tengahari itu di stesen Ueno tiada bezanya dari hari-hari lain, padat dan sibuk seperti biasa. Mana tidaknya, sejak dibina pada tahun 1883, ia menjadi penghubung utama penghijrah-penghijrah dari utara untuk ke kota Tokyo bagi mencari rezeki. Kini, peranannya semakin berkembang khususnya buat pelancong yang ingin berkunjung ke muzium-muzium dan zoo Ueno yang terletak berhampiran.

“Kita ni nak pergi mana bos?” Aku bertanya kepada sahabatku Hafidz Afifi, yang turut dikenali dengan nama timangan ‘bos’. Nama timangan itu bukanlah kerana ‘bos’ seorang yang “bossy”. Malah sikap itu jauh sekali ada pada dirinya yang terkenal sebagai seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja. Tapi, khabarnya nama itu mula digunakan kerana boss merupakan ketua untuk ‘batch’ nya sewaktu kursus persediaan ke Jepun dahulu.

“Entahlah. Kita jalan sajalah. Aku kalau bosan datang Tokyo memang selalu jalan-jalan sekitar Ueno,” jelasnya padaku. Hari itu, bos berada di Tokyo kerana ada urusan dengan bakal majikannya, sebuah syarikat Jepun yang ternama di dunia.Aku pula, lebih dari gembira dapat bersama-samanya, apatah lagi bila mengenangkan diriku yang bakal pulang ke tanah air Mac ini.

“BAS PENGHISAP DARAH”

Sejurus keluar dari stesen, kami terlihat sebuah bas berwarna hijau yang tidak asing lagi. Dengan saiz sekira-sekira sebuah bas ekspres, ia boleh dilihat dimana sahaja tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Jom kita derma darah”, ajak bos selamba. Aku terkejut. Tidak pernah lagi dalam hidupku ada orang yang mencadangkan aktiviti menderma darah untuk mengisi masa lapang.  Bagaimanapun, dengan pujuk rayu dan godaan bos akhirnya aku akur jua.

Bagi bos, ini merupakan kali ketiga dia menderma darah di Jepun. Malah, aku masih ingat lagi sekitar bulan Mei tahun lepas sewaktu di Carboot Sale di Chiba, bos jugalah yang turut mempelawa 3-4 orang sahabat-sahabat lain untuk sama-sama menderma darah. Pendek cerita, kalau pihak Red Cross Jepun ada anugerah, sewajarnya bos layak untuk menerimanya sebagai “Most Influential Promoter”!

Apapun pengalaman pertamaku menderma darah merupakan sesuatu yang menyenangkan. Selepas mengisi borang dan menjawab questionnaire, tekanan darah dan sampel darahku diambil. Dan tidak lupa, aku juga diminta untuk minum jus bagi memastikan cecair dalam badan mencukupi. Kemudian, darah diambil dan tidak sampai 10 minit, 400ml darah telahpun selamat didermakan. Dengan sikap profesional para petugas di samping kecanggihan teknologi, tidak terasa sedikitpun rasa sakit. Malah, aku tidak sabar untuk menderma lagi kalau ada peluang.

kad derma darah

PELAJARAN PENTING

Ada 2 pelajaran penting dari pengalaman pertamaku menderma darah tadi. Pertama, ialah rasa puas apabila dapat menyumbang. Selepas melihat kantung 400ml yang kini penuh dengan darah yang didermakan, aku terfikir akan orang yang bakal memerlukannya nanti. Dengan hanya meluangkan sekitar 20 minit, sebuah nyawa mungkin akan dapat diselamatkan. Dan kini ku mengerti erti pengorbanan mereka yang mendermakan sebahagian dari organ mereka untuk menyelamatkan insan lain. Sudah pasti, mereka telah dapat menikmati sebuah kepuasan yang maha tinggi.

Pelajaran kedua yang ku dapat dan ia lebih bersifat personal, iaitu aku baru tahu aku berdarah O. Pengetahuan ini amat penting lebih-lebih lagi apabila berada di Jepun. Ini kerana, secara umumnya masyarakat Jepun sangat mementingkan jenis darah seseorang. Temuduga kerja, calon pengantin, tilik nasib adalah antara bidang-bidang di mana pengetahuan mengenai jenis darah seseorang amat kritikal.

Selama ini,aku merasakan bahawa aku adalah berdarah B. Ini adalah berdasarkan sebuah eksperimen ringkas sewaktu tingkatan 4 dahulu (padan muka sebab tak fokus cikgu mengajar)  dan aku yakin sahabat-sahabat turut melakukan eksperimen tersebut.

“Penemuan” baruku ini memberikan sebuah dimensi baru dalam mengenali diriku. Di Jepun khususnya, dan juga luar Jepun ada beberapa kajian mengenai hubungan antara jenis darah dan personaliti seseorang, walaupun tiada sebarang bukti sains berkenaan kajian berkenaan. Walaubagaimanapun, ia masih lagi sesuatu yang menyeronokkan untuk kita mengetahui personaliti kita melalui jenis darah. Jadi, dibawah, ku kongsikan beberapa sifat yang dikaitkan dengan orang yang berdarah O:

You are the social butterflies. Often popular and self-confident, you are very creative and always seem to be the center of attention. You make a good impression on people and you’re often quite attractive. Organized and determined, your stubbornness will help you reach your goals. You make good leaders. Lovewise, O is most compatible with O and AB.

Common career choices: banker, politician, gambler, minister, investment broker, and pro athlete.

SUMBER

Ada lagi beberapa website menarik berkenaan kajian jenis darah dan personaliti, lebih-lebih lagi dalam bahasa Jepun. Jadi, buat sahabat-sahabat yang ‘ki ni naru’ dengan personaliti anda, apa kata sebelum itu pergi menderma darah untuk mendapat kepastian di samping dapat menyumbang untuk masyarakat. 😀

Monolog Pasca WG 2008

Alhamdulillah, tanggal 28 Disember yang lalu berlabuhlah tirai Winter Gathering IPIJ 2008. Satu lagi program yang sudah pasti meninggalkan seribu satu kenangan buat mereka yang terlibat, samada di pihak penganjur mahupun peserta. Buat diriku, WG 2008 mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri. Ya, secara rasminya WG 2008 merupakan programku yang terakhir bersama IPIJ sebelum meneruskan perjuangan di tanah air. (Doakan agar Istiqamah)

TEMA PROGRAM

Kali ini ‘Redefine Mahasiswa Islam’ telah dipilih sebagai tema program. Tahniah diucapkan buat kumpulan pemikir (aku tak masuk–serius) yang telah memikirkan tema tersebut. Kukira tema tersebut amat tepat dan sesuai di atas 2 sebab.

Pertama, sebagai penerus kepada SC 2008 di mana speaker jemputan ketika itu, Ustaz Hasrizal telah mengupas persoalan fundamental ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’; yang turut menyentuh soal dari mana kita datang, matlamat hidup serta tidak lupa isu tanggungjawab dan peranan kita di muka bumi. Kini di WG 2008, speaker Ustaz Ramadhan Fitri memperhaluskan lagi soal tanggungjawab itu dalam konteks yang paling hampir dengan diri para pelajar, iaitu sebagai mahasiswa.

Kedua, dalam keadaan pelbagai isu yang merusingkan sedang berlaku, samada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, peranan mahasiswa seharusnya diketengahkan. Ini selaras dengan gelaran yang ada iaitu ‘maha‘+’siswa‘. Perkataan ‘maha’ itu memberikan satu gambaran bahawa siswa itu tidak boleh jadi biasa. Dunia perlukan kepada satu golongan pemuda yang  TAHU dan MAHU untuk melaksanakan agenda perubahan. Mereka juga tidak gentar dan hanyut dek pelbagai propaganda yang ditujukan khas buat mereka oleh musuh-musuh.

Pengajaran sewajarnya diambil dari golongan pemuda dari tempatku belajar kini. Rata-rata mereka tidak pedulikan soal umat. Asalkan cukup makan dan bebas melakukan hobi masing-masing, cukuplah.

KENANGAN TERINDAH

Ramai-ramai

Namun andai ditanya kepadaku berkenaan pengisian yang disampaikan ustaz, ampun maaf ku pohon. Seingatku, aku hanya sempat untuk mengikuti lebih kurang 2 buah pengisian sahaja. Jadi, buat mereka yang ingin tahu lebih lanjut, sama-samalah kita nantikan video yang Insya-Allah bakan dikeluarkan oleh Biro IT dan Visual IPIJ.

Biarpun begitu, aku puas. Puas melihat para peserta dapat mengikuti dan mengambil manfaat dari program dan pengisian. Aku yakin begitulah juga perasaan sahabat-sahabat penggerak yang lain,

Biarpun terpaksa menyodok salji seawal jam 6 pagi,

Biarpun terpaksa menggadai nyawa meredah jalan berbukit yang diselaputi salji,

Biarpun terpaksa menebal muka berurusan dengan orang pejabat,

Ketahuilah, kami puas.

Yakinilah para sahabat sekalian. Kemanisan itu benar-benar dapat dinikmati selepas kita terjun ke dunia ‘MEMBERI’.

JANGAN BIARKAN IA TERHENTI

Ini program terbaik pernah saya sertai sepanjang hidup saya setakat ini

Subhanallah. Hanya Allah saja yang mengetahui betapa berbunganya hati selepas mendengar statement ini dari mulut salah seorang peserta. Nikmatnya seolah-olah berada  di dalam onsen di tengah-tengah dataran salji. Segala penat lelah hilang tidak kembali.

Namun begitu, usah biarkan kemanisan itu terhenti begitu sahaja. Air mata yang mengalir di penghujung program itu bukan untuk dikesat dan ditinggalkan di tapak program. Nasyid ‘Kawan’ yang dinyanyikan bersama bukanlah laungan semata-mata.

Semua itu menuntut untuk diterjemahkan kepada sebuah tindakan. AYUH BERTINDAK!!

*onsen= hot spring

Kembara di kota Paris

“Bonjour” sahut gadis di kaunter. Aku pun membalas ucapannya sambil tersenyum. Entah betul atau tidak sebutanku tadi.

Kini, aku telah tiba di kota Paris setelah 3 jam perjalanan dari London menggunakan perkhidmatan TGV. Berbeza dengan Shinkansen, TGV berkongsi landasan dengan perkhidmatan keretapi tempatan. Ini menyebabkan, sepanjang perjalanan cuma ada beberapa waktu sahaja ia bergerak dengan kepantasannya yang maksimum. Jikalau tidak, sudah pasti perjalanan dapat dipercepat kepada 2 jam atau lebih pendek lagi.

Sebaik tiba, aku membeli sebuah peta mini dengan harga sekitar 4 Euro. Oleh kerana aku hanya merancang untuk berada di Paris selama 2 hari 1 malam, aku kira peta kecil itu sudah memadai. Tidak perlu untuk mendapatkan buku panduan yang tebal. Yang menarik perhatianku ialah, pada peta tersebut di samping tempat-tempat menarik,  ada juga tercatat rumah-rumah ibadat di sekitar kota Paris. Gereja, biara Yahudi dan Masjid!!

PARIS KOTA YANG MENDAMAIKAN

Selepas ‘check-in’ dan membersih diri, aku terus keluar untuk bersiar-siar. Memandangkan aku cuma ada 2 hari sahaja di Paris, masa yang ada mesti dimanfaatkan dengan sebaiknya. Daripada peta yang kubeli, aku dapat melihat bahawa banyak tempat-tempat menarik dapat diakses dengan hanya berjalan kaki. Rupa-rupanya, hotel tempat ku menginap itu terletak di daerah Marais, suatu kota yang menjadi tempat tinggal kerabat diraja sebelum ditinggalkan selepas Revolusi 1789. Kini, ia menjadi pusat pelancongan dan membeli belah yang terkenal di kota ini.

Seluruh kota Paris sangat menarik bagiku. Bangunan-bangunan antik masih teguh berdiri di kiri kanan jalan. Oh ya, lupa pula untuk aku beritahu bahawa hotel tempat aku menginap itupun sangat antik, cuma tidak kupasti usianya yang sebenar.Di mana-mana aku dapat melihat restoran dan kafe dipenuhi dengan para pelanggan yang asyik menghirup kopi. Tidak lupa juga dengan pemuzik-pemuzik jalanan yang sentiasa mengisi ruang udara dengan alunan muzik yang mendamaikan. Malah, ada juga yang bermain muzik dalam subway.

Semuanya seolah-oleh tenang dan aman. Suasana ini sangat jauh berbeza dengan ‘kampung’ keduaku, Tokyo yang sentiasa sibuk dengan manusia terkejar-kejar ke sana ke mari.

Alhamdulillah, pada hari pertama aku telah berkesempatan untuk ke Notre Dame Cathedral, Arc De Triomphe dan lain-lain serta pada waktu malamnya, menaiki Eiffel Tower yang terkenal itu.

BAHASA BUKAN HALANGAN

Keesokan harinya merupakan hari Jumaat. Aku tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati suasana solat Jumaat di kota Paris. Selepas berkemas dan check-out, aku menaiki subway untuk menuju ke Mosquée de Paris.

Aku turun di stesen Gare d’Austerlitz dan harus berjalan lebih kurang 10 minit sebelum sampai di hadapan masjid. Setibanya di sana, aku disapa oleh seorang lelaki dalam bahasa Perancis, mungkin bertanyakan samada adakah betul ini masjid.  Aku mengatakan ya, sambil menjelaskan yang aku tidak bisa berbahasa Perancis. Lalu dia cuba berbual dalam Bahasa Arab.Alamak, aku punya Bahasa Arab pun tahap SPM saja.

 Maka, berbuallah kami macam kanak-kanak 3 tahun. Aku dengan Bahasa Arab campur Bahasa Inggeris. Dia Bahasa Arab dan Bahasa Perancis.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai Nouruddin berasal dari Algeria. Dia sedang mendalami linguistik di daerah lain di Perancis dan itu merupakan kali pertamanya ke Paris. Maka berangkatlah kami ke dalam masjid selepas berjanji untuk bertemu kembali usai solat nanti.

Di hadapan Masjid Paris

Di hadapan Masjid Paris

KITA BERTEMU DI RUMAH ALLAH

Aku tiba agak awal di masjid. Selepas solat sunat, aku mengambil peluang menghayati senibina masjid. Menurut sejarah, Masjid Paris ini dibina pada tahun 1922,sebagai menghargai jasa warga Afrika yang telah membantu Perancis dalam Perang Dunia 1. Oleh itu, tidak hairanlah elemen ke’afrika’an dapat dilihat dengan jelas pada senbinanya. 

“Masih ada lagi waktu ni”,bisik hatiku.Aku mengambil peluang untuk mengisi waktu yang ada dengan membaca Al-Quran. Rupa-rupanya, Akhi Nouruddin yang pergi mengambil wuduk tadi duduk tidak jauh dariku. Selepas selesai bacaan Al-Quran, beliau duduk di sebelahku dan memuji bacaan Al-Quranku sebentar tadi. Aku menjelaskan bahawa, adalah menjadi kebiasaan untuk orang Malaysia diajar untuk membaca Al-Quran dengan tajwid  yang betul dan Alhamdulillah, aku termasuk dalam golongan tersebut.

“Tetapi aku tidak dapat menghayati Al-Quran sepenuhnya lantaran tidak faham maksudnya”, keluhku kepada akhi Nouruddin.

Sambil tersenyum, dia memberitahu bahawa dia sangat berbangga dan bersyukur dengan pertemuan ini. Melihatkan anak-anak muda yang bersemangat mengamalkan Deenul Islam dalam kehidupan, membuatnya gembira.

“Saksikanlah ya Allah, bahawa dua insan ini telah berukhuwah di rumah-Mu ya Allah”, katanya sambil menepuk-nepuk bahuku.

OPS LALANG

25 Septermber 2008. Itulah tarikh terakhir aku mengupdate blog aku ini. Sedar dan sedar, hampir 2 bulan blog ini terbiar tanpa diisi. Kalau 2 bulan lalu, bunyi cengkerik riuh dari semak dan kepanasan hawa musim panas begitu menggigit. Kini, para cengkerik semuanya berhibernasi di bawah tanah menanti tahun hadapan. Hawa yang panas telah bertukar dingin meresap tulang. Dan tidak ketinggalan pohon momiji telah bertukar kuning, menyambut ketibaan musim sejuk yang bakal menjelang.

Ya. Begitulah banyaknya perubahan yang berlaku di sekelilingku. Semuanya patuh dan tunduk kepada hukum alam aturan Allah s.w.t. Namun, dalam sekian banyak perubahan, b302 terus sunyi dan sepi. Nasib baiklah si labah-labah tidak dapat menembusi dunia maya. Kalau tidak, nescaya para pembaca dan aku sendiri dikejutkan dengan sawang-sawang di seluruh skrin komputer setiap kali membuka blog ini.

AKU DAN PENULISAN

Sesungguhnya, aku tidak pernah gemar menulis. Aku masih ingat lagi sewaktu umurku sekitar 12 tahun. Ya, tahun kita semua menghadapi UPSR. Bagi mempersiapkan diriku untuk subjek penulisan, ibuku telah ‘memaksa’ku untuk menghafal esei-esei, samada dalam Bahasa Melayu (ke Bahasa Malaysia eh?) mahupun Bahasa Inggeris. Untuk itu, aku ada beberapa buah buku log khas yang penuh di dalamnya esei-esei hasil tulisanku sepanjang tahun (of course di bawah ‘paksaan’).

Untuk satu-satu tajuk esei, aku telah dilatih agar tahu untuk guna pendahuluan yang bagaimana, poin apa dan begitu juga dengan penutup. Maka setiap hari selepas subuh sebelum ke sekolah, aku dikehendaki untuk berlatih menulis satu esei, dan ibuku akan menyemaknya agar esei itu tepat (atau hampir tepat) dengan skema. Sudah tentu, ada hari-hari di mana aku tidak dapat menulis dengan baik. Maka, ibuku akan memarahiku dan pergilah aku ke sekolah dengan mata merah sambil tersedu-sedu.

Di peringkat SPM juga, aku masih tidak gemar subjek penulisan. Di dalam kelas, setiap kali waktu BM Penulisan, Cikgu Salma akan meminta kami untuk menulis bahagian-bahagian untuk sesebuah karangan. Contohnya, satu hari itu, kami diminta hanya untuk siapkan bahagian pendahuluan saja untuk satu tajuk. Sudah semestinya ia sepatutnya merupakan satu tugas mudah. Namun, tidak untuk aku. Dalam keadaan teman-teman semeja sudah mampu menulis separuh kertas A4, aku masih terkial-kial mencari ayat yang sesuai.

Jadi, kenapa menggatal tulis blog? Ya. Nampak gayanya persoalan ini perlu ku perhalusi lagi. Yang pasti, aku telah pun dapat sedikit sebanyak manfaat dari menulis di sini. Namun, ia seolah-olah tidak mampu menjadi pemangkin yang benar-benar mampu mendisiplinkan dan memotivasikan diriku untuk istiqamah dalam penulisan.

SOKONGAN TEMAN-TEMAN

Alhamdulillah, begitu ramai teman-teman yang peka dengan perkembangan (macam tak sesuai jer perkataan ini) b302. Masing-masing bertanyakan bila akan ada penulisan yang baru. Ketahuilah, anda semua memang sangat berharga dalam diri ini!!

Moga bertemu di penulisan yang lain. Insya-Allah

Ramadhan Bulan Menyemai Cinta

Bulan puasa, bulan mujahadah dan bulan al-Quran adalah antara nickname yang sering digunakan bagi menggambarkan bulan Ramadhan al-Mubarak. Ya, begitulah luasnya skop tarbiyah dan Islah yang terdapat dalam 30 hari bulan Ramadhan ini. Itulah gambaran peri pentingnya Ramadhan sebagai anugerah dari Allah untuk diambil manfaat oleh kita, hamba-hambaNya.

Namun, dalam banyak-banyak nickname yang aku dengar dalam siri-siri tazkirah sepanjang bulan ini, aku tertarik kepada sebuah lagi nama lain untuk Ramadhan; iaitu bulan MAHABBAH. Oleh itu, mari kita sama-sama lihat bagaimana Ramadhan berfungsi sebagai penyemai kasih-sayang dan cinta.

CINTA HAMBA DENGAN PENCIPTA

Tidak lain tidak bukan, bulan ini menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada para hambaNya. Dengan tawaran demi tawaran yang dianugerahkan, mana mungkin ada CINTA lain yang lebih agung daripada CINTA PENCIPTA dengan makhluk. Dimulai dengan Rahmat, diikuti dengan Maghfirah dan seterusnya pelepasan dari azab Neraka. Ini ditambah pula dengan janji syurga Ar-Rayyan untuk hambanya yang berpuasa. Seterusnya tawaran teristimewa khas untuk Umat Muhammad s.a.w iaitu ganjaran ibadah selama seribu bulan.

Moga kita semua tergolong dalam golongan tersebut.

CINTA MAKHLUK DENGAN KITABNYA

Salah satu daripada bukti sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah kepada kita ialah dengan penurunan kitab Al-Quran al-Kareem. Sebab apa?

Oleh kerana kita jahil dan buta, maka Allah menurunkan kitabNya sebagai panduan agar kita tidak melilau-lilau mencari jalan yang benar. Sungguh tidak dapat dibayangkan bagaimana kehidupan kita di muka bumi seandainya tiada panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

Sesungguhnya di sebalik Al-Quran itu tersemat sebuah kisah CINTA yang maha Agung. Mari kita sama-sama merenungnya:

Al-Quran diturunkan oleh Allah kepada hambaNya supaya pada suatu hari nanti dapatlah kita bertemu denganNya setelah sekian lama memendam CINTA dan RINDU

Al-Quran diturunkan kepada Nabi kita, insan yang paling diCINTAi Allah di kalangan semua makhlukNya.

Nabi kita menyampaikan Al-Quran kepada kita, umat yang Baginda CINTA

dan bagi umatnya yang mengerti, sudah pasti tidak kering bibirnya daripada Al-Quran sebagai bukti CINTA kita Allah dan RasulNya.

oops..bukan yang ini

oops..bukan yang ini

Sesungguhnya, inilah dia Ayat-Ayat CINTA yang sebenar. Marilah kita sama-sama melibatkan diri dalam putaran CINTA tersebut.

CINTA SUAMI DENGAN ISTERI

“Abang, hari ni buka kita nak makan apa?” tanya si isteri. “Abang ada belikan otak-otak kegemaran ayang” jawab si suami.

Mungkin ini adalah antara dialog yang biasa kedengaran di kalangan pasangan suami isteri sepanjang bulan Ramadhan ini.

Jika selama 11 bulan, masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing, bulan Ramadhan adalah peluang terbaik untuk dieratkan kembali hubungan kasih-sayang itu.  Antara cara yang diajarkan oleh nabi kita s.a.w ialah

Moga Allah merahmati ke atas suami yang bangun pada waktu malam dan solat, dan kemudian mengejut isterinya. Jika dia (isteri) enggan, dia memercikkan air ke wajahnya. Moga Allah merahmati ke atas isteri yang bangun pada waktu malam dan solat, kemudian mengejut suaminya. Jika dia (suami) enggan, dia memercikkan air ke wajahnya

(Bukhari dan Muslim)

Pada bulan-bulan lain, mungkin agak sukar diamalkan.Kini, Ramadhan adalah “alasan” terbaik bagi suami (isteri) membangunkan isteri (suami) bagi sama-sama menunaikan ibadat Qiam.

Mungkin ini adalah antara hikmah mengapa didalam barisan ayat-ayat berkenaan puasa, pada ayat 187 surah al-Baqarah terdapat ayat berikut:

Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

Wallahua’lam

CINTA SESAMA MANUSIA LAINNYA

Dalam bulan Ramadhan ini juga, kita dapat melihat bagaimana manusia sibuk menyemai CINTA antara satu sama lain.

Yang kaya membantu yang miskin.

Yang bertuah membantu anak yatim.

Jiran berkongsi lauk dengan jiran.

Kawan-kawan berkumpul mengeratkan ukhuwah.

Apakah yang cuba ditarbiyah oleh Allah melalui bulan ini?

Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengajar kita bahawa Islam ini bukan hanya berkisar soal Hablullah; hubungan dengan Allah. Tetapi, aspek yang tidak kurang pentingnya, yang sering ditinggalkan selepas Ramadhan ialah soal Hablun minannas, hubungan sesama manusia.

Biarlah Ramadhan ini menjadi titik tolak untuk kita semua sedar akan kewajipan kita terhadap manusia lain dalam mengaplikasikan konsep ibadah. Usah disempitkan dengan hanya solat, umrah dan haji. Serikanlah ia dengan menderma darah dan berhemah ketika memandu.

Dan moga dengan gabungan kedua-dua aspek itu, kita dapat meraih piala Taqwa. Insya-Allah.

Selamat Hari Raya.

Coretan Pasca SC 2008

Saat-saat Cemas

“Hari ini sungguh meletihkan…nampaknya Visa masih belum diperolehi”. Begitulah keluhan penceramah jemputan Summer Camp SC 2008, Ustaz Hasrizal a.k.a AbuSaif, 24 jam sebelum beliau dijadual terbang ke Bumi Sakura. Tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah IPIJ, penceramah jemputan tidak dapat Visa 24jam sebelum penerbangan.

Kami sebagai pihak penganjur, hanya Allah saja yang tahu betapa gelisah dan runsingnya memikirkan masalah tersebut. Lebih-lebih dengan aku, sebagai insan yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kehadiran Ustaz.Kegagalan Ustaz untuk hadir adalah secara langsung tanggungjawab aku. “Mungkinkah nanti aku kena jadi penceramah”, angan-angan aku yang kuharap tidak menjadi realiti.

Bertubi-tubi mel dan SMS ku terima bertanyakan status Ustaz dan juga status program. “Jadi tak program ni?”tanya seorang senior kepadaku.”Apa perlu kubuat seandainya Ustaz tak dapat Visa?” bisik hatiku. Na’uzubillah, segera dipujuk hati ini. Lantas diarahkan kepada semua AJk untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan.

Akhirnya….

“Jimi, Ustaz minta alamat dan no telefon. Ustaz dah dapat Visa”, bunyi SMS yang dihantar Ukhti Inda. ALHAMDULILLAH. Mahu saja ku sujud syukur di hadapan pintu masuk SOGO Yokohama. Khabar gembira itu terus kukhabarkan kepada teman-teman yang datang jauh dari Korea, sewaktu kami baru saja usai menjamah Ikan bakar serta Sup Miso, diiringi dessert Air Soya dicampur gula hitam di Ootoya, mapley aku di bumi Yokohama ini.

Begitulah antara catatan belakang tabir di sebalik wajah ceria dan gelak tawa yang mengisi program Summer Camp 2008 kali ini. Kisah betapa sukar dan peritnya untuk membawa sinar cahaya bagi menerangi bumi Sakura ini, yang sekian lama menanti. Moga-moga semuanya berbaloi.

Bukan kerna Nama

Macam-macam kerenah sebelum berjaya snap gambar ini

Macam-macam kerenah sebelum berjaya snap gambar ini

Program SC 2008 berbeza dengan program-program yang pernah dianjurkan sebelum ini. Jika sebelum ini, IPIJ sering memetik tajuk-tajuk secara rambang dalam silibus Usrah, kali ini bagi memanfaatkan semaksimum mungkin Ustaz Abu Saif, tema ‘APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM’ dipilih. Modul pengisian ini begitu sinonim dengan beliau di Malaysia bahkan di UK. Kali ini, apa kata kita beri peluang untuk Ustaz ‘memberi’ di Jepun pula, cadanganku kepada pihak pengurusan.

Alhamdulillah, dengan gaya penyampaian yang menarik disertai dengan selingan-selingan interaktif yang menyegarkan, aku dapat lihat para peserta begitu bersemangat mendengar dan ‘menerima’ pengisian dari Ustaz. Walaupun tidak dapat dinafikan, dek panas yang membahang serta nyanyian koir barisan cengkerik yang mendamaikan, kadang-kala ada peserta yang terlena dibuai mimpi. Namun, aku yakin seyakinnya ia bukanlah kerana pengisian yang membosankan, tetapi adalah akibat terlampau kenyang dengan masakan-masakan enak yang urusannya diketuai oleh chef-de-mission Akhi Afiq.

Mesyuarat Luar Tingkap

Tak kasik chance langsung depa ni

Tak kasik chance langsung depa ni

Antara karakteristik utama mana-mana program IPIJ ialah program-program halaqah informal yang terbentuk diluar waktu pengisian. SC 2008, turut tidak terlepas. Tetapi kali ini kekerapannya lebih ketara. Ini terbukti dengan sesi-sesi perbincangan yang tidak henti hatta waktu makan sekalipun. Sehinggakan riwayat yang sampai kepadaku menyatakan bahawa ada sesi makan yang Ustaz hanya sempat menyuap 5 suapan nasi dek melayan soalan-soalan yang bertubi, mengalahkan pukulan smash Wong Choon Han keatasku. (Kalau seandainya aku main badminton dengan dia)

Sebenarnya, daripada pengalamanku yang tidak seberapa ini, dalam halaqah-halaqah sebeginilah pihak Fasi dan peserta dapat berbincang dengan lebih terbuka dan rancak. Pada waktu inilah, para sempai dapat menyelami masalah-masalah yang dihadapi para kouhai bermula dari masalah studi, masalah dakwah hingga masalah cintan-cintun. Sesi ini berlaku dengan sifat terbuka tanpa ada rasa segan dan silu.

Kekurangan Pendakwah Rujukan di Bumi Jepun

Daripada situ, dapat kubuat kesimpulan bahawa ia menunjukkan bahawa golongan mahasiswa Malaysia di bumi Jepun ini ketandusan tempat untuk merujuk, khususnya bab agama. Ya, memang ada sedikit sebanyak para imam dan pendakwah di Jepun tetapi bilangannya terlalu sedikit. Apatah lagi, yang datang dari kalangan orang kita.

Jika dibuat perbandingan dengan US,UK atau Australia, di negara-negara berkenaan bilangan pendakwah agak ramai yang sekaligus membantu para pelajar mahupun warganegara Malaysia untuk menjadikan mereka sebagai tempat rujukan khususnya persoalan hukum fiqh. Malah, mungkin sampai ke tahap tak perlu kepada Ustaz-ustaz dari Malaysia kerana pendakwah di sana lebih memahami situasi di tempat mereka. Suasana itu tidak ada di Jepun kerana Islam yang baru hendak membangun di sini.

Menterjemahkan kefahaman kepada tindakan

“Saya tidak sabar untuk berkongsi apa yang saya dapat di sini dengan kawan-kawan lain”, adalah antara sekian banyak muhasabah yang kami terima. Alhamdulillah, matlamat tercapai.

Ya, sekarang sudah tiba masanya untuk para peserta pula terjun ke medan ‘memberi’. Aku yakin itu adalah antara poin terpenting yang cuba disampaikan oleh Ustaz dalam program SC 2008.

Pulanglah adik-adik (dan juga abang akak) ke tempat masing-masing dan carilah ruang untuk berkongsi input yang anda terima dan terjemahkan ia kepada tindakan. Jika sebelum ini kita sering dipulau kerana cuba untuk mengajak Solat Jemaah, mulakan dengan menjadikan diri kita contoh terbaik dari segi Akhlak. Jika sebelum ini perbincangan kita sering terhenti kepada kenapa Islam mengharamkan babi, bawalah perbincangan kepada persoalan matlamat hidup dengan teman-teman nihonjin kita.

Dan jangan lupa, DAKWAH MESTI CERIA!!

Kerunsingan

Tidak dapat dinafikan, antara faktor kejayaan program kali ini ialah kemampuan Ustaz Hasrizal untuk membawa pendekatan dan mesej dengan cara yang dekat di hati para peserta. Malah, tidak melampau seandainya ku katakan bahawa 70% daripada faktor menjadikan program SC 2008 kali ini menarik ialah faktor Ustaz.

Bukan faktor ana ya

Bukan faktor ana ya

Maka, menjadi satu cabaran untuk para AJK memikirkan cara dan pendekatan bagi memastikan program-program akan datang menarik, di atas perancangan dan insiatif penganjur sendiri. Satu cabaran besar untuk kita semua.

THINK BIG ACT SMALL!!

Catatan sepertiga Ramadhan

Pertamanya, ku pohon kemaafan daripada sidang pembaca yang sudi singgah di blog yang tidak seberapa ini, seandainya kecewa dan hampa apabila mendapati tiada entri untuk sekian lama. Jauh di sudut hati, terasa bersalah dan tidak tenteram apabila blog ini dibiarkan tanpa sebarang pengisian.

Pulang ke Tanah Air

Untuk pengetahuan, kini ku berada di tanah airku sempena cuti musim panas. Mungkin kepulanganku ini sedikit sebanyak menjejaskan kemahuan untuk menulis, dek dilanda sindrom ‘enjin sejuk’. Namun, apa jua alasannya ia tidak seharusnya menjadi penghalang dalam usaha untuk memperkemaskan diri menjadi seorang tentera Allah, dan salah satunya ialah melalui penulisan. Ya Rabbi, berikanlah kekuatan..

Kemeriahan Ramadhan di Tempat sendiri

Tahun ini merupakan kali pertama aku menyambut Ramadhan di tanah air selepas 5 tahun meraikannya di Bumi Sakura. Walaupun sambutan di Jepun, ada keistimewaannya tersendiri, namun kemeriahan menyambut Ramadhan di tanah air adalah sesuatu yang sangat dirindui.

Tahun ini juga merupakan kali pertama aku menyambut Ramadhan di kawasan perumahan Kota Damansara, selepas keluargaku berpindah ke sini lebih kurang 3 tahun lepas. Alhamdulillah, antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan setelah berpindah ke sini ialah adanya sebuah surau yang begitu aktif dan komited. Aku kagum dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh AJK surau yang tidak pernah jemu mengajak masyarakat setempat agar lebih dekat dengan Rabb dan Deenul Islam.

Surau Al-Ulum, surau tempat aku ini bukan hanya aktif pada bulan Ramadhan saja, malah momentumnya steady sepanjang tahun. Cuma, ia lebih aktif pada bulan Ramadhan. Program bersama anak yatim, berbuka puasa sesama ahli keluarga surau dan pelbagai lagi aktiviti kreatif dan menarik yang kukira boleh dijadikan contoh oleh surau atau masjid di tempat lain. Ditambah pula dengan siri tazkirah dan pengisian yang diadakan sepanjang hari, melengkapkan lagi pakej Tarbiyah Ramadhan yang ditawarkan.

Muhasabah

Ambil peluang untuk muhasabah

Ambil peluang untuk muhasabah

Pejam celik, sudahpun 10 hari Ramadhan kulalui. 10 hari pertama sebagaimana yang dijanjikan Nabi s.a.w adalah tempoh di mana Rahmat Allah mencurah-curah. Yang menjadi persoalannya, adakah kita hamba-Nya telah menggunakan tawaran dari Allah itu sebaik-baiknya?

Kini tinggal lagi 2/3 Ramadhan untuk dimanfaatkan bagi merebut piala taqwa. Sama-samalah kita berusaha agar di pagi raya nanti kita benar-benar boleh bertakbir tanda kemenangan, menewaskan ‘musuh-musuh kita’

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.”

(Bukhari & Muslim)

Ada apa dengan SC 2008?

Nama-nama seperti Saleh, Ahmad, Najihah, Aishah, semuanya indah belaka. Sekali baca saja, kita sudah dapat meneka bahawa tuan punya nama ini ialah seorang yang beragama Islam.

Tetapi, kalau ditanya kepada mereka, adakah mereka yang memilih nama-nama tersebut? Saya yakin kebanyakan dari mereka akan mengatakan tidak. Mereka mungkin akan menjawab “Mama yang bagi” ataupun, “Tok Wan yang bagi”, kalau yang lebih bernasib baik “Tok Guru yang bagi”. Pendek kata, tuan punya diri tidak pun diberikan hak sewaktu memilih nama mereka, yang akan digunakan sebagai pengenalan diri sepanjang hidup mereka.

Sedar ataupun tidak, kini sudah menjangkau 5 tahun,10 tahun, 22 tahun, 65 tahun nama-nama itu digunakan. Selama itu jugalah, dalam sedar atau tidak, individu itu digelar sebagai seorang Muslim.

Muslim yang Muslim

Yang menjadi persoalan kini ialah samada Islamnya mereka itu, adakah kerana semata-mata dilahirkan sebagai Muslim; sepertimana nama mereka itu? Kerana namanya Ahmad, maka sampai sekarang kawan-kawan memanggilnya Ahmad, dan Ahmad pun hidup sebagai Ahmad. Begitu juga dengan Najihah dan Aishah.

Tidak dapat dinafikan kelahiran kita sebagai Muslim merupakan sebuah nikmat yang sangat besar. Nikmat yang tiada tandingannya. Kita tidak perlu bersusah-payah sebagaimana para sahabat radiyallahu ‘anhum dulu dalam mempertahankan Islam mereka. Kita tidak terpinga-pinga sebagaimana saudara non-Muslim yang lain dalam mencari tujuan hidup di muka bumi ini.

Namun, dalam segala kemudahan itu terdapat juga racun. Racun ini jugalah yang sekarang meracuni kebanyakan insan yang lahir automatik sebagai Muslim. Jika ditanya apakah yang mereka faham tentang Islam, rata-rata pasti akan menjawab solat, puasa, zakat dan ‘maqam’ yang tertinggi sudah tentunya haji. Jadi, tidak peliklah kalau kita lihat di Malaysia ada individu-individu yang berbangga dengan jumlah hajinya.

Maka berlakulah satu fenomena di Malaysia di mana, Islam itu difahami dalam skop yang sangat sempit. Islam hanya sekadar Ibadah, di masjid dan surau dan sebagainya. Mereka gagal untuk menerapkan pemahaman Islam yang sempurna sebagai sebuah cara hidup yang merangkumi setiap saat dan detik dalam kehidupan seharian.

Akibatnya, kita dapat lihat kes-kes rasuah, persoalan masalah sosial, kes-kes bunuh serta pelbagai lagi gejala negatif dijuarai oleh mereka yang mempunyai nama-nama Islam.

Identiti yang tercabar

Alhamdulillah, sebahagian daripada kita kini diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara, secara spesifiknya Jepun. Pergaulan kita seharian dengan teman-teman pengajian dari serata dunia sudah pasti akan membawa kepada perbincangan berkenaan dengan diri kita sebagai seorang Muslim.

“Kena solat 5 kali? Susahnya”, “Awak tak pernah minum arak? Baguslah” dan sebagainya.

Walaupun saya meyakini dalam kebanyakan perbincangan, ia lebih berkisar kepada persoalan-persoalan yang zahir seperti solat, puasa dan makanan yang halal dan haram, namun sedikit sebanyak identiti kita sebagai seorang Muslim sedang diuji dan dicabar.

Pernah seorang sahabat saya ditanya oleh seorang makcik berbangsa Jepun, “ Apa perlunya kepada agama kalau selama ini kami bangsa Jepun terbukti mempunyai adab yang baik, kuasa ekonomi yang mapan?”

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi

Bagi mempersiapkan diri kita dalam mempertahankan identiti Islam kita itu, tidak dapat tidak perlunya kepada usaha dari diri kita sendiri untuk memantapkan kefahaman kita tentang Islam.

Fathi Yakan dan Maza Yakni

Buku “Apa Ertinya saya menganut Islam” merupakan sebuah buku yang tidak asing lagi di kalangan mereka yang pernah meyertai usrah, samada di sekolah ataupun di univsersiti. Dengan tajuk yang begitu jelas dan terang, saya kira tidak sukar untuk kita memahami apa yang ingin disampaikan oleh Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya itu.

Ustaz Fathi Yakan membentangkan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim dalam usaha untuk memainkan peranan sebagai seorang Muslim yang sebenar. Bukan hanya pada nama dan pemahaman Islam dalam skop yang sempit. Bermula dengan Aqidah, Ibadah, Akhlak seterusnya keluarga dan masyarakat.

Atas dasar itulah IPIJ, mengambil kesempatan bersempena cuti musim panas ini bagi berkongsi dengan anda semua, khususnya yang berada di Jepun mutiara-mutiara yang terdapat dalam buku ini. Insya-Allah, pemahaman kita akan dapat ditingkatkan lagi melalui perkongsian dari seorang penceramah yang tidak asing lagi, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang sudah pasti mampu untuk mengupas tajuk-tajuk berkenaan dengan berkesan.

Jadi, diharapkan kepada semua yang berada di bumi bertuah Jepun ini, dapat meluangkan masa dan tenaga untuk bersama-sama memeriahkan SC 2008 kali ini. Kita jumpa di sana ya!!

Barangsiapa yang berjalan mencari ilmu kerana Allah, maka akan dipermudahkan baginya jalan ke syurga.

(Hadith Hasan Riwayat Tirmidzi)

Maklumat lanjut sila layari: SINI

Pertama kali lihat namanya ialah melalui lawan web al-ahkam.net serta blog pengasas al-ahkam, Ustaz Zain. Sejak itu, aku cuba kenali dirinya, ikuti perkembangannya dan hayati nasyidnya.(sambung di penutup)

Aku bukanlah penggemar mana-mana akademi atau program-program seumpamanya, khususnya Akademi Fantasia. Aku tidak ingat satu kali pun, aku pernah menonton satu episod penuh. Cuma, ada sekali waktu balik kampung aku terpaksa tengok sekejap sebab anak-anak saudara bersama makcik-makcik pakat nak tonton AF belaka.

Bukanlah nak kata aku ni baik pun. Tapi, pada aku rancangan-rancangan begini di samping membekalkan masyarakat dengan hiburan terlampau, ia juga bermotif perniagaan yang jahat. Mereka mengaut keuntungan mungkin sampai berjuta melalui sms-sms pakcik makcik di kampung, tukang kebung dan nelayan yang pendapatannya tidaklah seberapa. Jadi, nanti yang kaya sudah pasti stesen TV, pemilik pengendali telefon. Yang kaya makin kaya, yang tak mampu pula terus hanyut dihidangkan hiburan melampau tanpa henti.

Tetapi sejak mengenali dan menonton Akademi Nasyid, aku merasakan ada sedikit kelainan yang cuba disampaikan oleh mereka yang terlibat. Sekali lagi ditegaskan , aku tak adalah menyokong sangat program-program berbentuk akademi ini. Kalau tidak ada pun program sedemikian, tak adalah sampai aku menggigil atau demam sebab gian nak berhibur. Tapi, aku melihat Akademi Nasyid ini sebagai satu alternatif dalam membekalkan masyarakat kita yang begitu tagihkan hiburan dengan sesuatu yang lebih baik. Jadi, daripada hiburan yang tak tentu hala, lebih baik masyarakat dihidangkan dengan nasyid/lagu yang sedikit sebanyak ada mesej yang ingin disampaikan.

Jadi, walaupun aku tidak berapa setuju dengan beberapa perkara dalam Akademi Nasyid, usaha tersebut seharusnya diberi pujian dan moga-moga sedikit sebanyak ada kesan positif daripadanya.

Peserta favourite aku ialah Azhan Atan dari Johor. Ah, nyanyiannya cukup untuk membuatkan bulu roma aku meremang dan hati ini tersentuh. Segala Puji bagi Allah yang menciptakan manusia seumpamanya. Ditambah pula dari khabar-khabar yang aku dapat bahawa dia turut terlibat dengan gerakerja dakwah. Waduh, makin suka lah aku kat dia. Pada aku, pada saat ini tak kisah pun samada Azhan akan menjuarai Akadami Nasyid atau tidak, kerana dia telah pun Berjaya memperkenalkan dirinya dalam industri ini dan moga-moga Allah akan mengurniakan keputusan yang terbaik untuknya.

Oh ya, tak lupa tahniah juga kepada para juri kerana aku lihat ada beberapa juri yang begitu peka soal penyampaian Nasyid sebagai agenda dakwah, bukan semata-mata hiburan. Mabruk! Mabruk!